|
Tuntutan kerja yang memerlukannya mengkaji serangan kulat Oncobasidium ke atas pokok koko di ladang tempatnya bertugas di Johor sekitar 1979, terbukti membawa perubahan besar dalam hidup Prof Madya Dr Zainal Abidin Mior Ahmad.
Dr Zainal Abidin diiktiraf pakar rujuk penyakit koko peringkat dunia.
Dr Zainal Abidin yang juga Ketua Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan berpengalaman 26 tahun dalam bidang penyelidikan patologi tumbuhan, kini adalah antara pakar rujuk utama bagi penyakit tanaman koko di dunia.
Menceritakan pembabitannya dalam bidang berkenaan, Dr Zainal Abidin berkata, selepas mendapat Bacelor Perlindungan Tumbuhan dari UPM pada 1978, beliau menyertai Dunlop Estates Berhad di Johor bertugas sebagai penyelidik.
Antara tugas adalah mengkaji serangan penyakit yang sering menyerang koko yang menjadi tanaman komoditi utama negara waktu itu. Apabila ladang tempat saya bertugas itu diserang penyakit mati sorot atau Vaskular Streak Dieback (VSD), maka saya ditugaskan untuk mengkaji perkembangannya.
Sejak itu, saya mengkaji dan terus mengkaji mengenainya, malah ketika meneruskan pengajian ke Sarjana, di UPM atas pembiayaan Dunlop Estet Berhad , penyakit yang menyerang kokok itu menjadi pilihan kajian saya
Hasil kajian beliau dan beberapa pakar pada waktu itu berjaya menyekat VSD terus merebak namun, kos pembasmian dan merawat penyakit yang terlalu tinggi menyebabkan industri koko terus malap di samping faktor penurunan harga koko di pasaran antarabangsa.
Selain penyakit VSD, Dr Zainal yang juga dalam pakar dalam mengkaji serangan kulat Crinipellis yang menyebabkan penyakit Witches Broom Disease kepada pokok koko.
Bagaimanapun, katanya penyakit Witches Broom Disease tidak menyerang pokok koko di negara ini, sebaliknya menyerang tanaman berkenaan negara di Amerika Selatan.
Dr Zainal Abidin berkata, pembabitan beliau dalam penyakit Witches Broom Disease bagi pokok koko bermula apabila beliau membuat PhD di Imperial College of Science,Technology and Medicine, United Kingdom, pada 1992.
Pada awalnya, saya berminat meneruskan kajian mengenai VSD untuk PhD saya, namun contoh pokok yang sudah dikultur tidak dapat di bawa ke United Kingdom kerana mati. Memandangkan penyelia PhD saya arif dan berpengalaman mengkaji Witches Broom Disease, maka beliau menasihatkan saya mengkaji topik berkenaan, katanya yang juga Presiden Persatuan Perlindungan Tumbuhan (MAPPS).
Beliau berkata, memandangkan beliau arif mengenai penyakit Witches Broom Disease, beliau sering dirujuk dan pernah memberikan ceramah mengenainya di peringkat antarabangsa termasuk di Persidangan Penyelidikan Koko Antarabangsa Ke-11 di Ivory Coast, pada 1993, dan persidangan yang sama kali ke-12 di Salvador, Brazil, pada 18 November 1996.
Di Malaysia, beliau juga sering dijemput memberikan ceramah dan syarahan bagi serangan penyakit koko terutama penyakit mati sorot dan menjadi penyelia bagi pelajar Sarjana dan PhD dalam kajian mengenai kulat berkenaan.
Penerima Pingat Gangsa pada Pameran Rekacipta dan Penyelidikan 22-23 di Universiti Putra Malaysia, 2002 ini turut menghasilkan kajian mengenai penyakit tumbuhan lain termasuk pokok pisang.
Namun pengiktirafan dan anugerah yang diterimanya, tidak pernah menjadikan Dr Zainal puas, sebaliknya beliau masih tetap sibuk mengkaji pelbagai penyakit tumbuhan kerana minat yang terlalu mendalam terhadap usahanya itu.
Di atas kepakaran dan sumbangannya kepada tanaman koko di negara ini hingga ke hari ini, Dr Zainal turut dilantik menjadi ahli Lembaga, Lembaga Koko Malaysia pada 2003 dan kini masih lagi menjadi pakar rujukan serta perunding untuk Lembaga Pendidikan Perkebunan (LPP) Indonesia, sejak 1999.
Profil
Prof Madya Dr Zainal Abidin Mior Ahmad Asal: Ipoh, Perak Isteri: Salita Hasma Hashim Muzbidi (Guru)
Pendidikan:
- Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK)
- Bacelor Perlindungan Tumbuhan, Universiti Pertanian Malaysia, 1978.
- Sarjana Patologi Tumbuhan, Universiti Pertanian Malaysia (UPM), 1982.
- Doktor Falsafah Patologi Tumbuhan Imperial College of Science,Technology and Medicine,United Kingdom, 1992.
Penyelidikan:
- Penyelidikan Penyakit Matisoort (Vascular streak dieback) 1979-1982 di Dunlop Estates Berhad.
- Penyakit Koko di Malaysia. 1985-1987, di bawah Tabung Pentadbiran Persuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia
- Penyelidikan Witches' Broom Disease 1988-1992, Biasiswa Komanwel dan Projek Antarabangsa Witches'Broom nal.
- Koordinator Projek IRPA (Vascular streak dieback) 1992-1994, (Malaysia).
- Koordinator Projek IRPA (Vascular streak dieback) 1996-1999, (Antarabangsa)
- Koordinator Projek IRPA bagi Penyakit Cladosporium-Phyllosticta foliar disease untuk Pisang 2002-2004,
Kepakaran:
- Ketua Projek Bengkel dan Latihan Perladangan untuk Komoditi tajaan World Bank / Lembaga Pendidikan Perkebunan Indonesia, 1993.
- Koordinator Penilai Pengurus Ladang di Malaysia/Indonesia, Lembaga Pendidikan Perkebunan Indonesia, 1999 hingga kini.
- Perunding untuk pelbagai agensi kerajaan dan syarikat untuk diagnos dan mengenal pasti serangan penyakit dan perosak tanaman sejak 1983 hingga sekarang.
- Presiden Persatuan Perlindungan Tumbuhan (MAPPS), Ahli Persatuan Microbiologi Malaysia, Persatuan Penanam diperbadankan dan Presiden Persatuan Alumni Imperial College di Malaysia (www.icaam.org.my).
Artikel oleh : Rohaniza Idris Sumber artikel : Berita Harian Online |
Komen
Suapan RSS komen untuk kiriman ini.