| Taman Kebun Dapur | |||
|
|
A pakah itu Edible Garden? Edible Garden jika ditafsirkan ke dalam bahasa Melayu bermaksud taman boleh dimakan. Ini bermakna taman yang dibangunkan mengandungi tumbuhan yang sesuai untuk dimakan atau pokok herba, sayuran, ulaman dan buahan.
Bagaimanapun, kebiasaannya Edible Garden ini menampilkan tumbuhan jangka pendek iaitu tumbuhan yang hidup dalam tempoh satu hingga enam bulan. Namun, ada juga tumbuhan kekal yang boleh hidup lama yang sesuai ditanam di Edible Garden, seperti kayu manis, tanjung, serai dan pandan. Kebiasaannya, Edible Garden menampilkan ruang yang minimum, sempit dan digabungkan dengan tumbuhan landskap. Selain berfungsi sebagai kebun dapur, Edible Garden juga boleh menjadi landskap yang menarik jika bijak menggabungkan pokok herba, sayuran dan buahan dengan pokok berbunga atau tumbuhan landskap atau hiasan. Gabungan hiasan dan sayuran adalah ciri utama Edible Garden.Di pameran Maha, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) bertanggungjawab membangunkan laman sayur mengetengahkan konsep Edible Garden dengan Minifertigasi. Menerusi konsep Minifertigasi ini, taman tidak perlu disiram atau diselenggara setiap hari sebaliknya pengairan dan siraman baja dilakukan menerusi sistem ‘timer’ - alat jangka masa yang akan berfungsi secara automatik mengalirkan air dan baja mengikut masa ditetapkan. Kaedah berkenaan sangat sesuai untuk penghuni kota yang sibuk kerana tuntutan kerja dan tidak mempunyai masa memberikan tumpuan kepada Edible Garden yang dibangunkan. Konsep Minifertigasi ini menggabungkan tanaman bersifat kekal lama dan tanaman sayuran jangka pendek yang dibina bukan hanya untuk tujuan mendapatkan hasil tetapi menyerikan dan mencantikkan laman. Sayur yang sesuai untuk Edible Garden Minifertigasi adalah sawi, terung, bendi, ulaman - gajus, tenggek burung, ulam raja dan sabung nyawa. Tumbuhan jenis perisa juga sesuai untuk melengkapkan lagi Edible Garden seperti pudina, kesum, serai, kari dan pandan. Apakah pula Minifertigasi? Ia adalah cara fertigasi yang dilakukan secara kecil-kecilan dan ringkas. Perkataan fertigasi berasal daripada perkataan fertilization (pembajaan) dan irrigation (pengairan). Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan diberikan serentak kepada tanaman. Fertigasi tergolong dalam kumpulan hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah. Dengan menggunakan kaedah fertigasi, tanaman tidak dijangkiti penyakit akar seperti Pythium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya di bawah tanah. Selain itu, tanaman berkenaan dapat ditanam di mana saja asalkan cukup cahaya untuk tujuan fotosintesis dan mempunyai tempat meletak beg plastik. Dalam sistem minifertigasi, medium yang mudah dicari dan murah akan digunakan seperti habuk sabut kelapa atau sekam bakar. Selain itu, medium lain yang boleh digunakan adalah pasir, batu kerikil granit, perlite, vermiculite dan maidenwell diatomite. Sebaik-baiknya, campuran medium seperti habuk sabut kelapa dan sekam bakar digunakan untuk memberi pengudaraan dan sokongan kepada akar berpaut di dalam beg plastik. Tetapi penggunaan satu medium saja boleh digunakan bergantung kepada kawasan.
INFO: Tip bangunkan Edible Garden
Seeloknya gabungan deria untuk membangunkan Edible Garden seperti sentuhan, rasa, mendengar, melihat dan bau. Pastikan gabungan yang sesuai - seeloknya pokok ulaman tanpa perisa dengan pokok yang mudah diserang penyakit seperti pokok bunga tahi ayam dengan tomato. Gunakan pasu dan petak kayu atau plastik serta hiaskan dengan batu sungai dan batu pasir untuk mencantikkan lagi taman Buatkan busut dan susun pokok secara bertingkat atau buatkan pegola dan sangkutkan pasu kecil di para-para untuk memberikan kesan eksotik. Gunakan sabut kelapa kering untuk menutup ruang dan menaikkan seri taman. Artikel oleh : Rohaniza Idris |



Konsep Edible Garden mengandungi pokok herba, sayuran, ulaman dan buah-buahan.
















Komen
Suapan RSS komen untuk kiriman ini.